CELCOM PERKENAL CLOUD GAMING PERTAMA DI MALAYSIA

Celcom Axiata Bhd (Celcom) memperkenalkan perkhidmatan Cloud Gaming pertama di Malaysia yang memberikan peningkatan pengalaman permainan ke tahap seterusnya dalam kalangan pengguna.

Ketua Pegawai Perniagaan Celcom, T. Kugan, berkata perkhidmatan hasil kerjasama dengan Radian Arc dan Blacknut itu akan memberikan pelanggan perkhidmatan telekomunikasi itu menikmati lebih daripada 400 Cloud Gaming premium.

Beliau berkata, ia adalah melalui platform atau peranti dengan kadar RM40 sebulan, tanpa perlu memuat turun spesifikasi perisian yang tinggi atau membeli perkakasan baharu.

“Tawaran mampu milik terbaharu Celcom ini membolehkan pelanggan yang juga pemain permainan video menikmati permainan dalam talian yang terkini mengikut keselesaan.

“Pelanggan kami juga dapat menikmati teknologi Cloud Gaming premium dengan rangkaian 4G yang konsisten serta melalui kesalinghubungan internet fiber.

“Tawaran terbaharu ini juga tepat pada masanya kerana Malaysia akan melaksanakan rangkaian 5G, di mana kelajuan rangkaian akan lebih pantas, memberikan pengalaman Cloud Gaming yang berkualiti serta meneroka kemungkinan tanpa penghujung dalam industri permainan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan Cloud Gaming daripada Radian Arc dan Blacknut menggunakan teknologi GPU Edge serta rangkaian operator untuk memproses data dengan pengguna akhir.

Dengan memanfaatkan teknologi awan serta disokong oleh rangkaian terlebar 4G LTE dan rangkaian fiber Celcom, pelanggan dapat menikmati akses tanpa had untuk aktiviti penstriman.

Melalui Celcom MAX juga, pelanggan boleh menikmati pengalaman permainan terbaik dengan internet berkelajuan tinggi sehingga 500Mbps dan internet fiber rumah berkelajuan tinggi tanpa had.

Celcom turut menawarkan pelanggan baharu dan sedia ada Celcom MAX akses percubaan kepada perkhidmatan permainan awan Blacknut secara percuma selama satu bulan.

Perkhidmatan Cloud Gaming Blacknut adalah serasi dengan kebanyakan peranti Android dan sesuai untuk komputer PC, Apple, telefon pintar Android dan iOS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Blacknut, Olivier Avaro, berkata kerjasama pihaknya dengan Celcom adalah pencapaian terbaik dalam mengukuhkan kedudukannya di Asia Tenggara.

“Blacknut menjadi sumber rujukan bagi perkhidmatan Cloud Gaming untuk syarikat telekomunikasi, kerana tawaran katalog kami yang unik dan pelan pasaran yang terpantas tanpa pelaburan infrastruktur daripada rakan kongsi.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama bersama dengan Celcom bagi pelancaran Cloud Gaming yang pertama di Malaysia,” katanya.

Sumber: 
BHonline

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *